Siapa yang tidak mengenali ubi kayu? Untuk pengetahuan umum, ubi kayu ataupun nama saintifiknya Manihot esculenta Crantz merupakan salah satu makanan ruji masyarakat Asia termasuk rakyat Malaysia. Ianya juga merupakan tanaman berkanji yang kaya dengan sumber karbohidrat. Pelbagai kegunaan ubi kayu ini terhadap masyarakat dunia seperti sumber makanan ternakan, boleh dijadikan produk makanan seperti kuih-muih, boleh dijadikan sebagai pengganti tepung gandum dan sebagainya.
Tanaman ini sangatlah berpotensi untuk dimajukan sebagai tanaman komoditi kerana penggunaannya terhadap masyarakat amat meluas untuk pelbagai tujuan. Untuk menjalankan aktiviti penanaman tanaman ini amatlah mudah serta tidak memerlukan penjagaan yang terlalu rapi untuk mendapatkan hasil. Di Jengka 6, penanaman ubi kayu dibuat secara besar untuk tujuan jualan kepada masyarakat setempat.